KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd (SDP) telah membeli dua gudang logistik dua tingkat serba moden di Bandar Bukit Raja, Selangor, pada harga RM232 juta.
Dalam kenyataannya, SDP berkata aset itu sebelum ini dimiliki oleh Sime Darby Property MIT Development Sdn Bhd (SDPMIT) yang juga usaha sama (JV) dengan nisbah pegangan 50:50 antara Sime Darby Property dan syarikat gabungan Jepun merangkumi MBK Real Estate Asia Pte Ltd dan anak syarikat Mitsubishi Estate Co Ltd.
“Pembelian itu selaras dengan strategi SHIFT25 yang bertujuan mentransformasi SDP kepada sebuah syarikat hartanah yang pelbagai.
“Menerusi pemilikan penuh aset logistik moden ini, kami dapat mengukuhkan portfolio hartanah perindustrian kami, memacu pertumbuhan pendapatan mampan selain meningkatkan kedudukan dalam sektor perindustrian dan logistik yang berkembang pesat," kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican.
Gudang berkenaan dengan gabungan kawasan boleh disewa bersih seluas 700,000 kaki persegi, juga dalam lokasi strategik di zon perindustrian Bandar Bukit Raja yang pesat berkembang di Klang dan menawarkan aspek kesalinghubungan mudah dan berhampiran dengan laluan pengangkutan utama serta hab perniagaan utama.
Kedua-dua gudang itu juga direka bagi memenuhi pelbagai keperluan logistik dan gudang selain menampilkan spesifikasi moden seperti siling tinggi, susun atur cekap dan pelbagai dok pemunggahan.
SDP juga menyifatkan lokasi strategik dan infrastruktur gudang yang moden itu menepati peningkatan permintaan bagi ruang perindustrian yang berkualiti tinggi, didorong oleh pengembangan e-dagang selain meningkatkan rantaian bekalan serta perniagaan yang mahukan kemudahan bagi menyokong kecekapan operasi.
-- BERNAMA