EKONOMI

BMI JANGKA BNM KEKALKAN KADAR OPR PADA 3.0 PERATUS

10/01/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus pada mesyuaratnya 22 Januari ini.

Dalam satu nota, ia berkata memandangkan kadar inflasi masih kekal sederhana dan prospek pertumbuhan yang teguh, ini menunjukkan BNM mampu mengekalkan OPR pada paras semasa untuk tempoh yang lebih lama.

"Seiring dengan jangkaan kami, inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8 peratus tahun ke tahun pada November berbanding 1.9 peratus pada Oktober.

"Selain itu, kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras menjadi sederhana pada 1.8 peratus untuk tempoh 11 bulan pertama 2024, iaitu berada di bawah paras purata Malaysia dalam 10 tahun sebanyak 2.0 peratus, menunjukkan kadar inflasi masih sederhana untuk BNM mengekalkan OPR," katanya.

 Ia berkata kadar inflasi mungkin berada pada purata 1.8 peratus pada 2024 dan 2.4 peratus pada 2025, tanpa mengambil kira pelaksanaan langkah dasar domestik dan kejutan harga global.

Mengakui walaupun inflasi kekal terkawal pada 2025, namun, prospeknya masih kekal tertakluk kepada pelaksanaan langkah dasar domestik, yang menjurus kepada penghapusan subsidi menyeluruh untuk petrol RON95 seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2025.

Pada masa yang sama, BMI mengunjurkan bank pusat itu akan mengekalkan OPR pada paras semasa 3.0 peratus untuk sepanjang tahun ini berdasarkan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan.

"Keyakinan bank terhadap ekonomi kekal utuh, dengan melihat kepada projek pelaburan berterusan yang akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif ekonomi," katanya.

Firma penyelidikan itu percaya keyakinan BNM itu sejajar dengan semakan menaik unjuran pertumbuhan 2024 dan 2025 baru-baru ini, masing-masing sebanyak 5.0 peratus dan 4.7 peratus.

"Unjuran ini secara amnya sejajar dengan semakan ke atas baru-baru ini ke atas prospek pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar 2024 kepada 4.8-5.3 peratus (4.0-5.0 peratus sebelum ini) dan ia berada di bahagian atas nilai sebenar sasaran pertumbuhan KDNK benar kerajaan 2025 sebanyak 4.0-5.0 peratus.

"Memandangkan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan ini, bank pusat berkemungkinan boleh mengekalkan kadar faedah tidak berubah untuk mengekalkan ruang dasar," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan