AM

NEUROGINE, UMS PERBAHARUI KERJASAMA BAGI TINGKATKAN PENDIGITALAN PMKS MALAYSIA

10/01/2025 03:28 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 10 Jan (Bernama) -- Neurogine Sdn Bhd, syarikat inovator teknologi kewangan terkemuka telah memperbaharui kerjasamanya dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengubah landskap kewangan bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Owen Chen Chee Onn berkata kerjasama berterusan itu memfokuskan kepada memanfaatkan teknologi n2Tap Neurogine bagi membantu PMKS mengatasi cabaran pendigitalan dan menyesuaikan diri dengan tingkah laku pengguna yang semakin berkembang.

Beliau turut menekankan kesukaran yang dihadapi oleh PMKS dalam mendigitalkan operasi mereka, yang sering dilihat sebagai satu proses yang rumit dan mahal.

“Matlamat kami adalah untuk bermula dengan PMKS di Labuan bagi membuktikan pendigitalan boleh menjadi mudah dan mampu memberi impak,” katanya di majlis memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) antara Neurogine dan UMS di UMS Kampus Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Chen berkata PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia kerana mewakili lebih 97 peratus perniagaan dan menggaji lebih 7.0 juta orang. Pada 2023, PMKS menyumbang 39.1 peratus (RM613.1 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat daripada 38.4 peratus (RM580.4 bilion) pada 2022.

“Neurogine juga merancang untuk melancarkan penyelesaian perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) n2Tap di seluruh negara pada Februari 2025.

“Teknologi ini membolehkan peranti mudah alih berfungsi sebagai alat untuk menerima pembayaran, mengeluarkan resit digital dan menghapuskan keperluan untuk terminal pembayaran tradisional dan kos-kos yang berkaitan dengannya.

“N2Tap memudahkan proses pembayaran untuk PMKS, menghapuskan keperluan untuk sewa bulanan atau transaksi jualan minimum,” katanya.

Chen berkata satu kumpulan fokus akan ditubuhkan untuk menilai kesan n2Tap ke atas PMKS Labuan, dengan penilaian itu akan dikongsi dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

"Neurogine juga merancang untuk membiayai sebarang pengubahsuaian dan penggunaan n2Tap sebagai Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi meminimumkan perbelanjaan awam dan risiko projek," katanya.

Chen berkata dengan teknologi seperti n2Tap membolehkan pendigitalan tidak lagi menjadi pilihan kepada PMKS kerana ia menawarkan faedah ketara tanpa sebarang kerumitan atau kos yang melampau.

"Malah gerai kecil dan kiosk sementara boleh mendapat manfaat daripada pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh," katanya.

Chen berkata n2Tap Neurogine telah menerima pelbagai perakuan termasuk daripada Majlis Piawaian Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran (PCI SSC), Visa Inc dan Mastercard Inc bagi membuktikan keselamatan dan keberkesanannya.

“Pengiktirafan global ini menekankan kepimpinan Neurogine dalam teknologi kewangan dan komitmennya untuk menyokong cita-cita ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Majlis MoU itu dirasmikan Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Kasim berkata peranan UMS adalah penting sebagai penggerak ekonomi, dengan mengambil kira hasil positif daripada kerjasama mereka dengan Neurogine sejak 2020.

Kerjasama UMS dan Neurogine sebelum ini termasuklah kajian pada 2023 mengenai transformasi digital PMKS di Labuan, yang mendapati banyak perniagaan tempatan sudah selesa menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti DuitNow QR, dan inisiatif baharu itu bertujuan untuk menyepadukan lagi pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh sebagai satu norma.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan