JENAYAH & MAHKAMAH

PEGAWAI TERTINGGI SYARIKAT PENYIARAN DITAHAN REMAN, DISYAKI TERLIBAT PENGUBAHAN WANG HARAM

11/01/2025 04:01 PM

KUCHING, 11 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan dan seorang wanita ditahan reman di sini hari ini kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Perintah reman selama dua hari hingga esok terhadap kedua-dua individu yang berumur lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Heng Yi Min selepas permohonan dibuat polis Sarawak hari ini.

Pegawai pengurusan tertinggi lelaki dan wanita berkenaan diwakili peguam Datuk Shankar Ram.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuching pada 9.10 pagi, diiringi anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan menerusi Op Ragada kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi termasuk di Pulau Pinang dan Sarawak, dengan nilai rampasan aset keseluruhan berjumlah RM17,434,217.

Razarudin berkata tangkapan dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas menerima maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR) tentang transaksi meragukan melibatkan beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga Sept 2024.

Beliau berkata modus operandi dilakukan ialah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan