AM

PASOR PERCUMA GANU KITE! BANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR

11/01/2025 04:18 PM

KUALA NERUS, 11 Jan (Bernama) -- Sekumpulan sukarelawan menganjurkan program pasar percuma di sini hari ini bagi membantu mangsa banjir terutama golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai barangan keperluan tanpa sebarang bayaran.

Penganjur ‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ Mohd Nazri Nainy berkata program di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengabang Telipot itu bagi membantu penduduk sekitar yang rata-ratanya nelayan dengan rumah mereka bukan sahaja dinaiki air bahkan diancam hakisan pantai dalam bencana akhir tahun lepas.

Beliau berkata kira-kira 200 penyumbang terlibat dengan bantuan bukan hanya diberikan dalam bentuk barangan tetapi termasuk sumbangan tunai sebanyak RM10,000 yang membolehkan pihaknya menyediakan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak untuk diagihkan kepada penduduk. 

“Kita dapat lihat program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran sekitar 2,000 pengunjung dan ada yang sudah menunggu seawal 8 pagi walaupun pintu pagar sekolah ini dibuka pada 10 pagi,” katanya ketika ditemui di SK Mengabang Telipot, di sini hari ini. 

Mohd Nazri berkata program ini turut menawarkan pakaian, perkakas rumah, mainan kanak-kanak dan buku sekolah secara percuma kepada pengunjung dengan ‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ pada hari ini merupakan kali ke-35 dianjurkan sejak 2018.

Sementara itu, seorang penduduk Daud Mohd, 62, berkata program berkenaan dapat membantu meringankan bebannya setelah rumahnya di Kampung Gong Datuk di sini dilanda banjir bulan lepas, sehingga barangan seperti perkakas elektrik musnah.

Beliau berkata pasar percuma hari ini diadakan tepat pada waktunya kerana selain kerugian harta benda akibat banjir, nelayan pantai sepertinya juga masih tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh ini.

“Mujur ada program seperti ini membolehkan saya ambil barangan seperti beras kerana sepanjang musim tengkujuh, nelayan pantai tiada pendapatan. Banjir tempoh hari juga menyebabkan jala dan bot fiber saya rosak teruk,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan