SIBU, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah meluluskan 17 projek pembinaan jalan raya bernilai RM826 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi Bahagian Sibu, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sembilan daripada projek itu dibiayai melalui peruntukan projek rakyat bernilai RM756,545,540, dua projek dibiayai dengan pembiayaan alternatif, manakala enam lagi dibiayai menggunakan peruntukan di bawah RMK12.
“JKR telah menyiapkan tiga projek bernilai RM156 juta dan satu lagi sedang dalam pembinaan. Tender untuk baki 13 projek yang bernilai RM570 juta akan dikeluarkan tahun ini,” katanya semasa majlis pecah tanah projek pembinaan jalan baharu, Jalan Teku Pasai-Siong menghubungkan ke Kemuyang di Kemuyang hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata sebagai tambahan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Bahagian Sibu mempunyai sejumlah 719 projek bernilai RM159 juta.
Sebanyak 544 daripada projek berkenaan telah siap, 31 masih dalam pembinaan dan 144 berada di peringkat penyediaan tender.
Uggah menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah menyediakan pembangunan yang amat dinanti-nantikan rakyat di Sibu.
Beliau turut berkata pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang kemajuan, dan projek yang dilaksanakan itu sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Tambah beliau, kerjasama dan ketelusan adalah kunci kejayaan projek-projek terbabit kerana ia melibatkan penyertaan aktif daripada agensi kerajaan, komuniti tempatan, dan pihak berkepentingan dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti dipatuhi dalam kitaran projek.
“Dengan perhubungan yang lebih baik, petani, peniaga dan perusahaan kecil akan menikmati peningkatan faedah, menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sibu,” katanya.
Majlis pecah tanah itu telah disempurnakan oleh Abang Johari.
-- BERNAMA