JENAYAH & MAHKAMAH

IBU DAN TEMAN LELAKI DISYAKI DERA KANAK-KANAK BERUSIA TUJUH TAHUN HINGGA MATI DITAHAN

12/01/2025 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada wanita berkenaan mengenai anaknya yang sedang tidur dikatakan tidak lagi bernafas pada 2.36 petang semalam.

Beliau berkata pemeriksaan polis bersama anggota paramedik mendapati mangsa meninggal dunia di rumah terbabit dan terdapat kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki.

“Hasil proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah pendarahan di dalam kepala dan siasatan awal mendapati mangsa disyaki dipukul dengan benda keras dan tumpul secara berulang di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azam berkata ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 25 dan 36 tahun itu ditahan pada 5.15 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.

Beliau menyatakan saringan ujian air kencing mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala ibu mangsa negatif dadah dan tiada rekod jenayah.

Beliau berkata kedua-dua individu terbabit direman tujuh hari sehingga 17 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan