JENAYAH & MAHKAMAH

PENAHANAN PEGAWAI KANAN TIADA KAITAN DENGAN SMG/TVS

12/01/2025 12:59 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Sarawak Media Group (SMG)/ TVS hari ini berkata penahanan seorang pegawai kanan sebuah stesen penyiaran baru-baru ini berhubung kes pengubahan wang haram tidak mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

SMG/TVS dalam kenyataan malam ini memaklumkan pihaknya berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

“Kami memahami keprihatinan semua pihak terhadap perkara ini dan ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak berkaitan dengan SMG/TVS.

“Operasi SMG/TVS akan dijalankan seperti biasa dan kami menggalakkan sebarang pertanyaan atau penjelasan berkenaan perkara ini diajukan terus kepada pihak kami melalui saluran komunikasi rasmi kami untuk memastikan maklumat yang sahih dan tepat,” menurut kenyataan itu.

SMG/TVS memaklumkan pihaknya akan terus komited untuk menjaga integriti dan mengekalkan kepercayaan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat umum, selain akan terus memantau situasi berkaitan dengan teliti dan memberikan maklumat lanjut sekiranya perlu.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa penyebaran sebarang maklumat palsu atau tuduhan yang tidak berasas kepada kami boleh menyebabkan implikasi yang tidak wajar terhadap reputasi kami dan kami memandang serius tindakan sedemikian.

“Kami dengan rendah hati mengucapkan terima kasih atas sokongan kepada kami,” menurut syarikat penyiaran itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan menerusi Op Ragada kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram. 

Hari ini, Razarudin memberitahu Bernama, anak kepada pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala pegawai terbabit bersama tiga lagi individu direman bermula hari ini.  

Beliau berkata siasatan kini tertumpu kepada transaksi aliran wang mencurigakan membabitkan individu terlibat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan