AM

PM MANFAATKAN LAWATAN KE UAE PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU ATAS KAPASITI PENGERUSI ASEAN 2025

12/01/2025 07:46 PM

Oleh Kamarul Ariffin Md Yasin

ABU DHABI, 12 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Ahad akan memanfaatkan lawatan itu untuk meneroka peluang mengukuhkan kerjasama serantau atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin berkata ini terutamanya dalam konteks peranan ASEAN termasuklah mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.

Beliau berkata lawatan Perdana Menteri ke UAE adalah bagi memenuhi undangan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Dubai untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini.

“Sewaktu Sesi Plenari ADSW Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata penyertaan Perdana Menteri bersama barisan pemimpin negara yang lain di ADSW pada Selasa (14 Jan) dilihat bertepatan dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

“Perdana Menteri akan hadir pada Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed selain Forum ‘Youth 4 Sustainability’,” katanya.

Turut dijangka hadir Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan, Presiden Uganda Yoweri Museveni, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana New Zealand Christopher Luxon.

“Ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE selepas Oktober 2023 dan lawatan pertama ke luar negara sejak menjadi Pengerusi ASEAN 2025. Ia akan platform pertama untuk beliau uar-uarkan kepengerusian ini kepada kumpulan lebih besar,” katanya.

Tengku Sirajuzzaman berkata pada Selasa Perdana Menteri dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di sini selain pertemuan dengan rakan sejawat, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai pada Isnin (13 Jan)

“Perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data. Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata Anwar juga dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) Malaysia-UAE yang dijangka membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Tengku Sirajuzzaman berkata Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan daripada syarikat-syarikat terbesar di UAE bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing dan memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan UAE.

Mengiringi Anwar dalam lawatan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE direkodkan bernilai RM39.53 bilion (US$8.61 bilion). 

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion) pada 2023.

Malaysia juga merupakan rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-32 terbesar pada peringkat global.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook berkata usai lawatan kerja di UAE, beliau akan berlepas ke London.

Menurut Anwar, lawatan itu sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Britain Keir Starmer.

Beliau kemudian akan ke Brussels untuk menghadiri beberapa agenda penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.

Selepas itu, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.

Forum tersebut katanya merupakan platform penting dalam membahaskan pelbagai isu dunia antaranya ketidaktentuan perubahan iklim, kepesatan inovasi dalam kecerdasan pembuatan dan kepantasan teknologi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan