LOS ANGELES, 12 Jan (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat kebakaran hutan ketika ribuan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api yang merebak di seluruh Los Angeles County, daerah paling padat penduduk di Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.
Senarai kematian yang dikeluarkan oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles menunjukkan jumlah korban meningkat kepada 16 orang setakat Sabtu malam.
Sebelas daripada mangsa yang terkorban adalah berkaitan kebakaran Eaton, manakala lima lagi ditemukan di zon kebakaran Palisades.
Kebakaran Eaton, yang bermula pada Selasa malam, memusnahkan 57.1 kilometer persegi (14,117 ekar) kawasan berhampiran Altadena dan Pasadena dan hanya 15 peratus berjaya dikawal setakat petang Sabtu.
Api masih marak sepanjang malam, membakar kawasan bertebing curam yang sukar diakses dengan tumbuh-tumbuhan yang sangat kering, menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL FIRE) dalam kemas kini situasi.
Imej udara menunjukkan kira-kira 7,081 struktur mungkin rosak atau musnah akibat kebakaran itu.
Kebakaran Palisades, yang terbesar daripada sekurang-kurangnya lima kebakaran aktif di wilayah Los Angeles memusnahkan 91.7 km persegi (22,660 ekar) dan lebih 5,300 struktur sejak Selasa. Kebakaran itu kini berjaya dikawal sebanyak 11 peratus.
“Usaha memadamkan api terus menumpukan pada membina dan memperbaiki garis kawalan dengan keutamaan kepada keselamatan awam dan perlindungan struktur. Hari ini, angin dari arah utara ke timur laut akan meningkat secara beransur-ansur, mencapai kekuatan maksimum pada waktu malam,” menurut CAL FIRE dalam kemas kini.
CAL FIRE menyatakan angin panas dan kering Santa Ana yang sederhana hingga kuat “berkemungkinan kembali pada Selasa dan Rabu dan memarakkan lagi kebakaran.”
Gabenor California Gavin Newsom pada Sabtu mengumumkan penambahan jumlah anggota Pengawal Kebangsaan California yang dikerahkan untuk membantu memadamkan kebakaran dengan 1,680 anggota kini aktif di kawasan terjejas.
Menurut Jabatan Air dan Tenaga Los Angeles (LADWP) yang membekalkan kemudahan utiliti bagi penduduk bandar itu, memaklumkan, satu perlima pili bomba di kawasan Palisades hilang tekanan sepanjang minggu ini, lapor Los Angeles Times, akhbar utama di Pantai Barat AS.
Anggota bomba yang bertugas awal minggu ini mendapati banyak pili bomba tidak mengeluarkan air, mencetuskan kritikan hebat.
-- BERNAMA-XINHUA