GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan menganjurkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Ketua Menteri di SPICE Arena, Bayan Baru, pada 30 Jan ini.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini, menjemput orang ramai menghadiri rumah terbuka itu yang akan berlangsung selama dua jam, bermula 2 petang.
"Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berbesar hati kerana Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor, akan turut hadir menyerikan sambutan kali ini.
"Orang ramai, khususnya rakyat Pulau Pinang dijemput memeriahkan sambutan perayaan yang menjadi simbol keharmonian negeri ini," menurut kenyataan itu.
Pejabat Ketua Menteri juga mendoakan agar tahun baharu membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik, dan kejayaan kepada semua.
-- BERNAMA