MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Kejayaan mencapai sasaran dalam mengurangkan jumlah hutang dan peningkatan kutipan hasil negeri menjadi bukti kepada gerak kerja proaktif dan sistematik yang diamalkan oleh pentandbiran kerajaan negeri ini dalam usaha membangunkan ekonomi.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kutipan hasil negeri meningkat kepada RM489.79 juta, melebihi sasaran 100 peratus, dan pencapaian ini meletakkan Melaka di kedudukan ketiga dalam peningkatan unjuran prestasi hasil pendapatan antara negeri-negeri.
"Sementara itu, baki hutang negeri pada tahun 2023 berjaya dikurangkan daripada RM631.95 juta kepada RM625.49 juta pada tahun lalu, yang merupakan satu kejayaan, terutama memandangkan 2024 juga merupakan tahun yang mencabar," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.
Ab Rauf berkata kerajaan Melaka mengekalkan sasaran unjuran nilai pelaburan RM5 bilion pada tahun ini, dengan harapan untuk menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri ini, sekali gus memastikan Melaka kekal menjadi destinasi tumpuan pelaburan.
Mengulas perkembangan ekonomi Melaka, beliau optimis bahawa sektor pelancongan akan terus berkembang, terutamanya dengan sambutan Tahun Melawat Melaka yang dilanjutkan sehingga 2026, sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 16.5 juta pelancong pada tahun ini, dan pada masa yang sama, kita akan meneruskan inisiatif kemasukan percuma ke beberapa lokasi pelancongan sempena cuti umum bagi sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb ini," tambahnya.
"Sebanyak 10 lokasi pelancongan menarik di Melaka akan dibuka secara percuma, dengan butiran lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa. Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat swasta atau pemain industri pelancongan yang berminat untuk menawarkan inisiatif serupa dengan kerajaan negeri," katanya.
Antara produk pelancongan percuma yang ditawarkan termasuk Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka, serta muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Pelbagai penambahbaikan berdasarkan kajian yang sedang dijalankan juga akan dilaksanakan.
-- BERNAMA