KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Jumlah jualan sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun untuk mencapai nilai jualan sebanyak RM149.3 bilion pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini merupakan jualan kedua tertinggi yang direkodkan sepanjang tahun lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan runcit mendahului dengan peningkatan sebanyak 5.8 peratus kepada RM64.8 bilion, diikuti perdagangan borong yang mencapai jualan sebanyak RM66.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak 4.7 peratus.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan pertumbuhan positif dengan berkembang sebanyak 1.4 peratus kepada RM18.3 bilion.
Menurut Mohd Uzir perdagangan runcit menunjukkan daya tahan dengan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan naik sebanyak 5.5 peratus dan jualan runcit di kedai pengkhususan melonjak sebanyak 8.2 peratus.
"Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan bertambah sebanyak 6.3 peratus diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 6.5 peratus.
"Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga mencatatkan pertumbuhan signifikan iaitu sebanyak 13.7 peratus, disokong oleh harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi iaitu berkembang 35.4 peratus pada November," katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata jualan borong barangan isi rumah meningkat sebanyak 5.0 peratus diikuti jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan yang masing-masing berkembang sebanyak 5.2 peratus dan 7.9 peratus.
Beliau juga menjelaskan subsektor kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan iaitu 1.4 peratus berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam jualan kenderaan bermotor yang mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 4.3 peratus.
Katanya, prestasi lemah dalam kumpulan jualan kenderaan bermotor pada November boleh dikaitkan dengan pengguna yang menangguhkan pembelian untuk menunggu kemungkinan diskaun atau rebat akhir tahun.
-- BERNAMA