EKONOMI

KEMAMPANAN, INOVASI PEMANGKIN PROSPEK CERAH PASARAN HARTANAH - KNIGHT FRANK MALAYSIA

13/01/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) – Pasaran hartanah Malaysia dijangka berkembang pada 2025 dengan tumpuan terhadap kemampanan, inovasi dan peningkatan kesalinghubungan membabitkan wilayah penting yang dalam kedudukan tepat untuk menarik pelabur tempatan dan asing.

Perkembangan sedemikian, menurut Knight Frank Malaysia, dapat membuka jalan atau menjadi pemangkin bagi pertumbuhan jangka panjang.

Dalam kenyataannya hari ini, firma perunding hartanah itu berkata perkembangan penting di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Malaysia Timur menjadi faktor pemacu pasaran itu dengan keyakinan berterusan didorong oleh pelaburan strategik dan peningkatan permintaan.

Pengarah Eksekutif Kanannya Judy Ong berkata pasaran hartanah Malaysia bergantung kepada permintaan berterusan bagi perumahan, anjakan dalam rantaian bekalan yang memacu permintaan bagi ruang perindustrian, pelaburan pusat data dan pemulihan kukuh dalam segmen hospitaliti.

“Ini disertai dengan peningkatan permintaan terhadap pembangunan mampan dan diperakui hijau yang menyaksikan industri dijangka berdepan tahun yang progresif serta dinamik pada tempoh akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong turut mengakui sektor perindustrian Malaysia sedang mengalami pertumbuhan pesat manakala industri hospitaliti mencatat pemulihan kukuh.

“Ada banyak peluang bagi pelabur dan pihak berkepentingan. Tumpuan kukuh ke atas kemampanan menjadi faktor penting bagi pelaburan strategik di masa depan,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Keith Ooi pula berpendapat pasaran hartanah Malaysia secara konsisten berubah mengikut cabaran, sekali gus membuka jalan bagi pertumbuhan mampan.

“Menerusi penekanan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus, inovasi dan pembangan infrastruktur, pasaran ini akan terus berkembang dan dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau," katanya.

Mengulas prestasi 2024, syarikat itu berkata pasaran telah memaparkan daya tahan dan pertumbuhan yang mantap dan merentasi pelbagai sektor yang didorong oleh pelaburan strategik, penambahbaikan infrastruktur dan permintaan pasaran yang sentiasa berubah.

Sektor perindustrian misalnya menerajui kemajuan teknologi dan kemampanan manakala pasaran pejabat dan runcit meneruskan pemulihan, disokong oleh peralihan keutamaan penghuni dan perbelanjaan pengguna.

“Sektor hospitaliti pula menyaksikan lonjakan dari segi ketibaan pelancong manakala perumahan/kediaman mewah mengekalkan kestabilan permintaan selain dibantu oleh inisiatif kerajaan dan penambahbaikan infrastruktur,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan