PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa beliau memulangkan sebahagian wang didakwa sebagai derma yang diterima daripada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah kerana Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 telah berakhir.
Saksi pembelaan pertama itu berkata beliau ingin mengelakkan sebarang salah tafsiran yang mungkin timbul daripada kewujudan jumlah wang yang besar dalam akaun peribadinya.
Najib berkata beliau telah menulis surat kepada AmBank menyatakan hasratnya untuk memulangkan US$620 juta baki wang tidak digunakan kepada Tanore Corporation Finance, iaitu syarikat yang mendeposit wang derma itu ke dalam akaun AmIslamic beliau, yang berakhir dengan nombor 694.
"Dua sebab kenapa saya pulangkan duit tersebut adalah pertama, kerana pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013) sudah berakhir. Kedua, saya tidak perlu jumlah wang yang besar dalam akaun saya yang boleh menimbulkan macam-macam tafsiran, jadi saya pulangkan semula kepada pihak yang menyumbang kepada saya.
"Saya telah menulis surat kepada Ambank mengenai pemulangan ini. Saya tidak maklumkan sendiri kepada Tanore, hanya melalui dokumen perbankan sahaja," kata Najib.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar semasa memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama ketika membela diri membabitkan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketika ditanya Kamal Baharin, Najib berkata beliau juga tidak memaklumkan secara peribadi kepada Raja Abdullah atau kerabat diraja Arab Saudi, Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud berkenaan pemulangan semula wang berjumlah US$620 juta itu.
Najib bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa beliau tidak memaklumkan secara peribadi kepada Raja Abdullah kerana tahu duit tersebut tidak datang dari pemimpin itu dan sebenarnya adalah hasil daripada dana 1MDB.
Pada perbicaraan sebelum ini, Najib mendakwa bahawa Raja Abdullah dalam satu pertemuan pada 2010 menjanjikan sokongan kewangan kepadanya dan beliau mendakwa empat surat derma Arab yang dikeluarkan antara 1 Feb 2011 hingga 1 Jun 2014 menjanjikannya derma US$100 juta, US$375 juta, US$800 juta dan £50 juta.
Kesemua surat derma itu dialamatkan ke kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur selain menggunakan kepala surat dengan nama Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud.
Sementara itu, Kamal Baharin turut membangkitkan isu mengenai percanggahan dalam pernyataan saksi Najib pada perbicaraan kes ini dan SRC International Sdn Bhd antaranya berkenaan tindakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Kamal Baharin menegaskan dalam perbicaraan SRC, Najib memberi keterangan bahawa empat surat derma Arab tersebut diterima daripada Jho Low dan Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa Raja Abdullah akan memberikan derma antara US$100 juta dan US$200 juta.
Bagaimanapun, dalam perbicaraan ini, Najib memberi keterangan bahawa empat surat derma Arab Saudi itu diterima daripada bekas Ketua Setiausaha Sulitnya Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Jho Low memaklumkan kepadanya Raja Abdullah akan memberikan derma sebanyak US$1 bilion.
Kamal Baharin: Saya katakan apa yang Datuk Seri nyatakan dalam pernyataan saksi kes SRC adalah berbeza dengan pernyataan saksi Datuk Seri dalam perbicaraan kes ini.
Najib: Secara zahirnya ada perbezaan. Saya akan jelaskan semasa pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung.
-- BERNAMA