AM

SARAWAK TINGKAT USAHA DAPATKAN PEMBIAYAAN SEKTOR TRANSFORMASI TENAGA - ABANG JOHARI

13/01/2025 05:55 PM

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Sarawak akan meningkatkan usaha mendapatkan pembiayaan projek transformasi tenaga pada tahun ini bagi mencapai kapasiti tenaga bersih sebanyak 10 gigawatt (GW) dan 15GW menjelang 2035.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya akan bekerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa dan rakan global, memanfaatkan dana hijau dan perkongsian strategik untuk memacu peralihan Sarawak ke arah masa depan yang lebih bersih dan berdaya tahan.

“Sarawak bukan sekadar mengambil bahagian dalam peralihan tenaga, tetapi kami sedang membentuknya,” katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.

Dengan Fasa Satu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kian menghampiri tahun terakhir, beliau berkata adalah penting bagi semua agensi untuk terus fokus dan berdedikasi bagi memastikan pelaksanaan program dan projek dipercepatkan serta dilaksanakan dengan efisien.

Abang Johari turut menyeru semua pihak untuk menyelaraskan usaha kerajaan negeri dengan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meliputi tempoh 2026-2030.

“Usaha kita di bawah RMK-13 akan kekal pelbagai bentuk dalam mencapai hasil berimpak tinggi yang digariskan dalam PCDS 2030.

“Oleh itu, penekanan RMK-13 adalah untuk meningkatkan ketahanan ekonomi melalui transformasi dan diversifikasi, memajukan transformasi digital, memupuk keterangkuman sosial dan memastikan kemampanan serta kesaksamaan untuk semua,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dalam ucapannya berkata Sarawak terus menunjukkan kemampuan menjana pendapatan tinggi apabila berjaya meraih hasil RM14.2 bilion pada 2024, melepasi sasaran awal RM12.7 bilion.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Abang Johari selama lapan tahun, hasil negeri kini meningkat dua kali ganda daripada RM5.6 bilion pada 2017.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan