KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh komuniti India di Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perayaan yang diraikan selama empat hari bermula hari ini, adalah perayaan budaya bagi menzahirkan rasa syukur selain bersiap untuk lembaran baharu.
"Justeru, saya mengharapkan perayaan Ponggal pada tahun ini disambut dengan lebih meriah dan bermakna di samping keluarga dan yang tersayang. Di pihak kerajaan, kami akan terus bekerja dengan gigih agar tidak ada kumpulan dan kelompok masyarakat dipinggirkan, terutamanya kaum India.
"Mewakili keluarga besar Malaysia, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan selamat menyambut Perayaan Ponggal kepada seluruh masyarakat India," katanya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa kemiskinan dalam kalangan kaum India akan terus menjadi keutamaan kerajaan.
Selain itu, Anwar berkata kebersamaan dan perpaduan mesti terus diperkukuh sebagai jalan ampuh menjelmakan perubahan serta keamanan buat negara.
Ponggal menandakan permulaan bulan 'Thai' dalam kalendar Tahun Tamil (Tahun Thiruvalluvar) dan disambut dengan penyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan tanda berterima kasih dengan hasil tuaian yang melimpah ruah.
-- BERNAMA