KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mewujudkan subsektor "tenaga boleh baharu" (TBB) dalam klasifikasi sektor tenaga dan utiliti untuk memberikan tumpuan kepada syarikat tersenarai awam (PLC) yang beroperasi dalam ruang TBB.
Ia berkata klasifikasi subsektor itu termasuk PLC yang terlibat dalam menyediakan peralatan dan perkhidmatan untuk pengeluaran TBB, serta menghasilkan atau mengagihkan tenaga elektrik menerusi sumber TBB.
"Oleh itu Bursa Malaysia Securities Bhd telah mengemaskini klasifikasi sektor dan subsektor 13 PLC yang kini dikenal pasti beroperasi dalam ruang TBB, berkuat kuasa 9 pagi hari ini," katanya.
Bursa itu berkata nombor saham dan nama singkatan saham bagi sekuriti yang terlibat kekal tidak berubah.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata pengenalan klasifikasi subsektor TBB menjelaskan keupayaan Bursa Malaysia untuk memenuhi minat pelabur yang meningkat dalam syarikat dan penyedia yang mesra alam.
Inisiatif ini, katanya turut menunjukkan sokongan proaktif bursa terhadap industri pesat membangun seperti TBB yang memainkan peranan penting dalam membentuk Malaysia yang lebih hijau dan mampan.
"Penambahan ini akan meningkatkan daya tarikan kami kepada pangkalan pelabur yang lebih luas, seiring dengan misi Bursa Malaysia untuk mencipta peluang serta meningkatkan nilai.
"Kami tetap komited dalam meningkatkan daya tarikan pasaran modal kepada pelabur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, langkah klasifikasi itu akan memberikan pelabur maklumat lebih jelas terhadap peluang khusus yang tersedia dalam subsektor sedang berkembang pesat seperti TBB.
Maklumat yang lebih terperinci ini akan memudahkan pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum serta analisis yang mendalam terhadap potensi pertumbuhan dan cabaran yang dihadapi firma TBB, katanya.
Sementara itu, Bursa Malaysia berkata subsektor TBB ini akan meningkatkan keterlihatan PLC kepada kalangan pelabur yang menumpulan dalam inisiatif kemampanan dan mesra alam.
"Dengan profil syarikat ini, ia akan membantu mereka menarik lebih ramai pelabur, mendapatkan pembiayaan untuk meningkatkan operasi, inovasi atau melonjakkan kecekapan operasi.
"Usaha ini sekali gus mengukuhkan kedudukan pasaran dan penilaian syarikat TBB, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka panjang serta masa depan tenaga yang lebih mampan," katanya.
-- BERNAMA