JASIN, 13 Jan (Bernama) -- Deretan kedai lama di tengah Pekan Jasin sekali lagi meriah apabila menjadi tumpuan masyarakat India di negeri ini untuk mencari barangan keperluan bagi meraikan Pesta Ponggal esok.
Seorang peniaga, K. Gopal, 43, berkata kedai milik keluarganya yang diusahakan sejak 20 tahun lepas dikunjungi ramai sejak beberapa hari lepas bagi mendapatkan pelbagai keperluan yang lengkap dijual di situ untuk sambutan pesta menuai.
Gopal berkata antara keperluan yang laris ialah tebu, anyaman daun kelapa, belanga tanah liat, susu, daun kunyit, pisang dan bunga-bungaan segar.
"Setakat ini lebih 250 ikat batang tebu yang kebiasaannya digunakan untuk dekorasi telah habis dijual pada harga RM12 setiap satu selain lebih 50 belanga tanah liat pelbagai saiz berharga antara RM10 hingga RM12.
"Keperluan lain ialah susu, buah pelaga, gula perang, biji gajus, kismis dan minyak sapi untuk memasak nasi manis juga laris," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Gopal berkata barangan keperluan terbabit akan digunakan untuk sambutan selama tiga hari Pesta Ponggal iaitu hari pertama di rumah, hari kedua untuk binatang ternakan seperti lembu dan hari ketiga yang dikhususkan kepada wanita bujang.
Suri rumah, M. Pusparani, 63, berkata dia lazimnya akan membeli barangan keperluan di Pekan Jasin untuk meraikan sambutan itu bersama keluarganya di rumah mereka di Taman Maju Jasin.
"Saya berasa gembira untuk meraikan perayaan itu dan telah selesai membeli semua barangan diperlukan pada hari ini untuk memasak nasi manis esok," katanya.
Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di ‘Little India’ di Lebuh Pasar, George Town mendapati banyak tebu dijual terutama di kedai menjual barangan kelengkapan dan kedai runcit.
Peniaga, M.Anbukarasan, 41, berkata dia telah menjual tebu di Lebuh Penang sejak 10 tahun lepas dan tahun ini menyediakan 700 batang tebu berbanding kira-kira 500 batang tahun lepas bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Tebu ini diambil dari ladang di Perlis. Setakat ini tiada masalah untuk dapatkan bekalan kerana ia mencukupi.
“Saya jual antara RM10 hingga RM15 bagi dua batang tebu manakala RM2 sebatang bagi tebu yang telah dikerat kerana ada pelanggan yang tinggal di rumah pangsa, mereka hanya mahu keratan kecil sebagai simbolik sahaja,” katanya.
Selain tebu, dia turut menjual daun kunyit yang juga bahan penting yang akan diikat pada sekeliling belanga tanah liat sebagai sebahagian daripada upacara.
M. Umadevi, 39, berkata Ponggal tahun ini akan disambut secara sederhana bersama ahli keluarga di rumah dengan acara utama adalah menyediakan nasi manis.
“Hari ini saya datang ke Little India untuk beli tebu, daun kunyit, belanga baharu. Saya tinggal di rumah pangsa, jadi kami sekeluarga sambut secara kecil-kecilan sahaja di dapur,” katanya.
-- BERNAMA