AM

MELAKA REKOD 18 KEMALANGAN BABIT PELAJAR SEKOLAH

14/01/2025 05:27 PM

ALOR GAJAH, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Melaka merekodkan 18 pelajar terlibat dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas dengan lima kematian direkodkan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata sehubungan itu kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) komited untuk terus melaksanakan program advokasi dalam kalangan pelajar. 

"Usaha ini penting dalam menerapkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menunggang motosikal bagi mengurangkan risiko kemalangan," katanya kepada pemberita di Kuala Sungai Baru. 

Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bersama JPJ Melaka di sebuah sekolah di sini hari ini.

Hameed berkata bagi mencapai matlamat itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan penggunaan motosikal anak-anak mematuhi pematuhan undang-undang jalan raya.

Beliau berkata JPJ telah mengenal pasti pelbagai kesalahan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 42 motosikal yang ditunggang pelajar sekolah yang hadir program berkenaan.

"Antaranya kesalahan teknikal,  tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan tiada insurans selain penunggang terdiri pelajar di bawah umur," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pendaftaran bagi permohonan lesen motosikal percuma di bawah Program MyLesen B2 akan dibuka esok bagi golongan B40 berumur 16 hingga 35 tahun.

Sebanyak 800 kuota akan diberikan kepada peserta yang layak di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan