KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Hampir 80 peratus kes trauma berpunca daripada kemalangan jalan raya dengan 64 peratus kejadian melibatkan kecederaan otak traumatik (KOT) antaranya berpunca daripada tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar bagi penunggang motosikal, menurut Pangkalan Data Trauma Malaysia Kebangsaan.
Perunding pakar bedah saraf di Pusat Perubatan Sunway (SMC) , Bandar Sunway Dr Johan Quah Boon Leong berkata keadaan ini semakin membimbangkan apabila kadar kemalangan jalan raya di Malaysia melonjak kepada 545,585 pada 2022 berbanding 370,000 pada 2021 dan terus meningkat kepada 598,635 pada 2023.
"Berdasarkan pengalaman saya, punca utama KOT ialah tidak memakai tali pinggang keledar dan menunggang motosikal tanpa topi keledar. Kemalangan yang berlaku pada kelajuan 20 kilometer sejam (km/h) ke atas motosikal atau kereta yang tidak menggunakan tali pinggang keledar juga boleh mengakibatkan kecederaan.
“Ia tidak hanya mengenai kelajuan, tetapi tentang perlindungan yang tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr Johan, langkah pencegahan seperti pemakaian topi keledar, tali pinggang keledar dan pemanduan berhemah dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus mengurangkan risiko KOT namun ramai mengabaikan langkah tersebut hingga menjadi punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia dengan menjejaskan lebih 69 juta orang setiap tahun.
“Asia Tenggara terutamanya, menyumbang kepada 56 peratus daripada kes global berbanding hanya 25 peratus di Amerika Utara. Menurut Laporan Rawatan Rapi Malaysia pada 2017, kecederaan kepala adalah antara sebab utama kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi, berjumlah 7.1 peratus,” katanya.
Dr Johan berkata KOT boleh dibahagikan kepada KOT terbuka iaitu objek asing seperti peluru atau serpihan menembusi tulang tengkorak dan KOT tertutup yang berlaku apabila daya luar menyebabkan otak terhentak atau bergerak di dalam rongga tengkorak tanpa melibatkan penembusan pada tulang tengkorak.
“KOT boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Terjatuh, kemalangan jalan raya, kecederaan sukan dan hentakan daripada objek merupakan antara sebab utama ia terjadi.
“Data menunjukkan KOT paling lazim berlaku dalam kalangan anak muda yang menunggang motosikal dan kanak-kanak. Mereka adalah golongan berisiko tinggi,” katanya.
Tidak hanya menyebabkan trauma fizikal serta-merta, beliau berkata KOT juga memberi kesan jangka panjang kepada pesakitnya kerana mereka mungkin mengalami hilang ingatan, kesukaran untuk fokus, perubahan personaliti, kemurungan, keresahan, perubahan mood, sakit kepala kronik dan pening.
“Kes KOT yang teruk pula boleh membawa kepada ensefalopati traumatik kronik (CTE) dan demensia pascatrauma (PTD), sekali gus menjejaskan lagi fungsi kognitif dan motor. Keadaan ini lama-kelamaan akan mempengaruhi kehidupan seharian, menjejaskan pekerjaan, perhubungan, serta memerlukan sokongan perubatan dan psikologi berpanjangan,” katanya.
Menurut Dr Johan, KOT boleh berlaku dalam pelbagai peringkat, daripada ringan hingga serius dan tahap keterukan KOT ditentukan menggunakan Skala Koma Glasgow yang mengukur tahap kecederaan berdasarkan keupayaan seseorang untuk mengikuti arahan, pergerakan mata, dan pertuturan jelas.
“KOT ringan seperti konkusi otak, biasanya dirawat dengan pemantauan simptom, berehat, dan ubat untuk melegakan kesakitan atau loya. KOT sederhana hingga berat pula mungkin memerlukan pembedahan segera untuk mengurangkan tekanan.
“Bagi KOT sederhana atau parah mungkin memerlukan pembedahan dengan segera, penjagaan rapi dan ubat-ubatan untuk mengurangkan pengumpulan cecair di dalam otak, mencegah sawan dan membantu proses pemulihan,” katanya.
Beliau berkata kajian menunjukkan 75 peratus pesakit KOT sederhana hingga parah yang menjalani rehabilitasi neurologi rapi selama 12 bulan dapat mencapai tahap kefungsian baik.
Baru-baru ini, SMC telah dinobatkan sebagai antara 75 Hospital Pakar Neurologi Terbaik di Asia Pasifik 2024 oleh Newsweek, sekali gus mencatatkan prestasi cemerlang untuk tahun kedua berturut-turut.
-- BERNAMA