EKONOMI

MALAYSIA, UAE METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA AI DI BAWAH INISIATIF MMAI

14/01/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada Inisiatif Kecerdasan Buatan Malaysia MADANI (MMAI).

Menerusi hantaran Facebook beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu akan memanfaatkan kuasa transformasi AI, analitik data lanjutan dan pengkomputeran berprestasi tinggi untuk memerangi jenayah, mencegah keganasan dan meningkatkan keselamatan awam.

“Komitmen ini dinyatakan dengan jelas melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu, yang menempatkan teknologi terkini sebagai usaha untuk membina komuniti yang lebih selamat dan terjamin.

“Saya berbesar hati menyaksikan pencapaian ini dengan MoU ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Alsuwaidi.

“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan teknologi sebagai kuasa untuk kebaikan — melindungi nyawa, memajukan inovasi dan menyampaikan pembaharuan bermakna,” kata beliau.

Anwar berkata ketika Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN manakala UAE menjadi Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 2025, kedua-dua negara bersetuju memanfaatkan platform, seperti Forum Ekonomi ASEAN-GCC untuk memperkukuh kerjasama kerajaan dengan sektor swasta mengenai AI.

Beliau berkata usaha berkenaan akan menghubungkan pembuat dasar serantau, peneraju industri dan inovator untuk menangani cabaran global yang kompleks.

“Bersama-sama, dua negara ini menetapkan standard global dalam menggunakan teknologi untuk meningkatkan keselamatan, inovasi dan kemakmuran bersama,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan