JENAYAH & MAHKAMAH

ROMPAK WARGA EMAS: DUA WARGA INDONESIA DIPENJARA LIMA TAHUN, SATU SEBATAN

15/01/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Dua lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak beg duit milik seorang wanita warga emas, dua minggu lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Ari Ablia Lubis, 26, dan Umar Ardiansyah, 32, serta memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 6 Jan lepas. 

Kedua-dua tertuduh itu didakwa bersama-sama merompak beg duit Yee Chooi Lan, 64, yang mengandungi wang tunai RM100 di Lorong Haji Taib, Dang Wangi di sini pada 12.55 tengah hari, 5 Jan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebatan.

Mengikut fakta kes, kedua-dua lelaki itu ditangkap pada 6 Jan dan polis telah menjumpai barang-barang milik mangsa antaranya beg kulit dan kad pengenalan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama selain mangsa merupakan warga emas.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan