KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan 28 Feb untuk mendengar permohonan lelaki warga Israel, Avitan Shalom untuk menanguhkan prosiding di Mahkamah Sesyen, sementara menunggu pelantikan jurubahasa Ibrani (Hebrew) yang berkelayakan.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Avitan, Muhamad Aiman Haziq, memaklumkan bahawa jurubahasa dalam prosiding sebelum ini tidak mampu bertutur dalam bahasa Ibrani
"Kami percaya permohonan ini tidak akan menjejaskan kes pendakwaan. Kami juga memohon agar direkodkan bahawa permohonan ini tidak berniat jahat dan bukan untuk cuba menangguhkan perbicaraan.
“Permohonan kami berasaskan kepada keputusan spesifik oleh hakim Mahkamah Sesyen pada 7 Jan, yang telah memutuskan bahawa perbicaraan akan diteruskan tanpa mengira adanya jurubahasa dan dalam bahasa Inggeris jika tiada jurubahasa Ibrani,” katanya sambil menambah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan tersebut pada 9 Jan.
Aiman berhujah bahawa ketiadaan jurubahasa Ibrani dalam perbicaraan menimbulkan kebimbangan serius kerana ia melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 270 Kanun Tatacara Jenayah.
"Malah, kami telah menghantar surat kepada Istana Kehakiman (Putrajaya) untuk memaklumkan bahawa jurubahasa Dr Chew Kai Mun adalah jurubahasa Ibrani yang berkelayakan yang boleh membantu perbicaraan dan kami telah membuat pertanyaan," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya V. Suloshani Vijendran membantah permohonan itu kerana perbicaraan telah ditangguhhkan, menyebabkan Mahkamah Tinggi wajar membatalkan permohonan bagi menanguhkan prosiding di Mahkamah Sesyen.
“Kami dimaklumkan mengenai kewujudan seorang jurubahasa yang tersedia, tetapi jurubahasa tersebut tidak pernah dibawa ke mahkamah terbuka. Tidak ada apa-apa yang dibacakan, dan jurubahasa itu tidak pernah bercakap dengan tertuduh. Oleh itu, pihak pendakwaan tidak jelas mengapa peguam pembelaan mendakwa bahawa jurubahasa tersebut tidak bertauliah.
"Kami membantah permohonan untuk penangguhan prosiding, kerana tiada keperluan untuk itu pada masa ini. Mahkamah telah mengambil kira situasi ini dan memberikan masa mencukupi untuk mendapatkan jurubahasa yang sesuai bagi menyelesaikan isu yang timbul.
"Permohonan ini harus dibatalkan, namun sekiranya perbicaraan diteruskan tanpa jurubahasa Ibrani, peguam masih bebas untuk memfailkan permohonan baharu," kata Suloshani.
Pada 13 Jan lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin membenarkan perbicaraan kes ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu selama 12 hari bermula 6 sehingga 9 Jan, 13 Jan hingga 16 Jan serta 20 Jan hinggga 23 Jan ini.
Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atai kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Avitan juga didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
-- BERNAMA