AM

PERHILITAN TERENGGANU TINGKAT USAHA TANGKAP DUA BERUANG MASUK KAMPUNG

15/01/2025 09:08 PM

JERTIH, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mempergiat usaha menangkap dua ekor beruang dipercayai anak-beranak di Kampung Beting Lintang di sini.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata pihaknya menerima tiga aduan berhubung haiwan itu daripada penduduk kampung sejak 3 Nov tahun lepas. 

“Sebelum ini, kami sudah dua kali pasang perangkap di kampung itu namun gagal membuahkan hasil. Kami kemudiannya pindah dan pasang perangkap itu di Kampung Gong Batu iaitu kira-kira satu kilometer dari kampung ini kerana percaya dua beruang itu telah ke sana.

“Petang ini, kami pasang semula perangkap di Kampung Beting Lintang setelah dimaklumkan mengenai kehadiran beruang tersebut yang dikesan berkeliaran di situ beberapa hari lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Loo berkata pihaknya percaya beruang yang sama telah merosakkan projek penternakan kelulut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tahun lepas.

Terdahulu, tular gambar seekor beruang dewasa berwarna hitam dan seekor anaknya berkeliaran di kampung itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Beting Lintang Abd Wahab Ab Rahman berkata kehadiran dua ekor beruang tersebut sejak tiga hari lepas menimbulkan kebimbangan penduduk kampung. 

“Penduduk kampung bimbang sekiranya haiwan itu muncul pada siang hari dan menjadi ancaman ketika penduduk kampung menjalankan rutin harian dan kanak-kanak yang bermain.

“Beruang itu bukan sahaja berkeliaran tetapi turut membaham ternakan dan empat ekor beruk milik penduduk sejak November tahun lepas. Terbaharu, seekor beruk telah dipercayai dibaham beruang itu malam tadi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan