JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BURU TAHANAN LARIKAN DIRI DI TANGKAK

16/01/2025 10:47 AM

TANGKAK, 16 Jan (Bernama) -- Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan yang melarikan diri daripada tahanan sah pada 1.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata lelaki itu, Mohd Saifulnizam Zakaria, 38,  yang berketinggian kira-kira 170 sentimeter, bertubuh kurus dan berkulit gelap disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Usaha mengesan suspek diteruskan dan Op Tutup digerakkan melibatkan semua elemen termasuk Unit Anjing Pengesan K9 di semua pintu keluar serta masuk daerah dan daerah polis yang bersempadan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata siasatan ke atas Mohd Saifulnizam yang beralamat di No 122, Kampung Padang Lalang di sini dijalankan di bawah peruntukan Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan kejadian menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di 06-9785222 atau pegawai penyiasat kes ASP Sharidathul Aflaha Ismail di 019-2699573," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan