AM

KPKM ANJUR MINI MAHA SEMPENA SIDANG KEMUNCAK ASEAN 2025

16/01/2025 01:08 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menganjurkan Mini Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Mini MAHA akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama agro antara negara-negara ASEAN.

"Acara ini diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, meningkatkan eksport produk agro tempatan dan memperkasakan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam keterjaminan makanan di rantau  ASEAN," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM, di sini hari ini.

Mohamad berkata semasa Mini MAHA berlangsung, perwakilan ASEAN akan dibawa melawat pameran tersebut.

"KPKM kurang aktif dalam ASEAN kerana kementerian ini mempunyai mesyuarat sendiri dengan menteri-menteri ASEAN, jadi ia berasingan daripada MAHA ini. 

"Walau bagaimanapun, KPKM akan terlibat secara langsung bila diperlukan seperti penglibatan MAHA itu," katanya.

Di bawah tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mengulas mengenai kejayaan penganjuran MAHA 2024, Mohamad berkata pameran itu telah berjaya menarik kehadiran seramai 5.51 juta pengunjung dari dalam dan luar negara, sepanjang penganjurannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dari 11 hingga 22 Sept lepas.

"Penganjuran MAHA 2024 mencatatkan kejayaan cemerlang dengan nilai jualan keseluruhan RM48.55 juta dan pemeteraian 81 memorandum bernilai RM7.20 bilion. 

"Selain itu, sebanyak 209,352 transaksi tanpa tunai melalui Agrobank Cashless atau QR-Pay telah direkodkan dengan jumlah keseluruhan RM4.06 juta, di samping potensi pembiayaan dianggarkan sebanyak RM1.57 bilion dan jualan barangan cenderamata sebanyak RM1.6 juta," katanya.

Beliau berkata MAHA 2024 turut memberi manfaat langsung kepada lebih 2,000 usahawan dan pempamer, memperkukuh status Malaysia sebagai hab agro antarabangsa. 

MAHA 2024 meliputi lima kluster iaitu Kingdom of Agro Food, Food Empire Food Viral, Food Truck Fiesta, Food Trade dan Rhythm of Farmers.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan