AM

MESYUARAT NTO PLATFORM NEGARA ASEAN BINCANG USAHA TARIK PELANCONG ANTARABANGSA

16/01/2025 05:55 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bergambar) -- Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTO) kali ke-61 menjadi platform untuk 10 negara anggota ASEAN bekerjasama dalam membincangkan produk pelancongan rentas negara masing-masing dalam usaha menarik pelancong antarabangsa termasuk dari benua Eropah.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan berkata mesyuarat NTO sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman. 

"Perkara yang dibincangkan termasuk mengenai polisi berkaitan kemudahan akses ke negara ASEAN dan bekerjasama untuk mempromosikan negara anggota sebagai destinasi pelancongan kepada pengunjung dari luar negara ASEAN, khususnya dari pasaran jauh seperti dari Eropah dan Amerika Syarikat. 

"Kebiasaannya pasaran negara jauh mengambil tempoh percutian antara 14 hingga 20 hari. Apabila melawat satu negara ASEAN, kita mahu dalam tempoh itu mereka juga melawat ke negara ASEAN lain kerana negara anggota mempunyai keunikan masing-masing," katanya kepada pemberita tempatan selepas sesi penerangan kepada media antarabangsa mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat NTO itu juga turut membincangkan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ASEAN, antaranya program inap desa, pelancongan kapal pelayaran (cruise) dan pelabuhan untuk dijadikan sebagai homeport of calling.

Negara-negara yang menghadiri mesyuarat NTO yang berlangsung pukul 9 pagi hingga petang ini, itu terdiri daripada Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ATF 2025 bertemakan "Unity in Motion: Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow" berlangsung sejak semalam hingga 20 Jan ini. Acara ini menghimpunkan pihak berkepentingan dalam pelancongan dari seluruh Asia Tenggara bertujuan meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pertumbuhan mampan sektor itu di rantau ini.

Ini kali kedua Malaysia menganjurkan ATF, selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan