JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES JUMPA PISTOL, PELURU DI PANTAI ROBINA

16/01/2025 07:02 PM

BUTTERWORTH, 16 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang jurujual bagi membantu siasatan berkaitan penemuan sepucuk pistol berserta pelbagai kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di persisiran Pantai Robina, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Teluk Air Tawar di sini kira-kira 2.15 petang semalam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.

"Lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selasa lepas, seorang pemancing menjumpai sebuah kotak berisi sepucuk pistol beserta pelbagai kelopak peluru dan peluru hidup di persisiran pantai terbabit.

Hamzah berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu telah menjumpai kotak plastik yang dibalut dengan pembungkus plastik ketika memancing di kawasan berdekatan kira-kira 4.30 pagi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan