DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

16/01/2025 09:51 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup rendah hari ini berikutan kelemahan dalam harga kacang soya dan minyak mentah.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata volum eksport yang lembap turut menyumbang kepada penurunan.

“Kami melihat sokongan harga pada RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,350 satu tan,” katanya kepada Bernama. 

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani pula berkata niaga hadapan minyak biji sesawi China yang didagangkan susut secara mendadak turut menekan harga.

Selain itu, ketiadaan permintaan baharu daripada pasaran destinasi utama seperti India, China serta Kesatuan Eropah dan potensi semakan yang lebih rendah membabitkan gabungan duti serta levi eksport minyak sawit Indonesia pada Februari berikutan penurunan harga minyak sawit baru-baru ini boleh mengakibatkan kejatuhan dalam harga rujukan minyak sawit.

Pada penutup, kontrak bulan baharu Februari 2025 susut RM41 kepada RM4,471 satu tan, kontrak Mac 2025 turun RM69 kepada RM4,289 satu tan, April 2025 merosot RM82 kepada RM4,186 satu tan, Mei 2025 kehilangan RM87 kepada RM4,099 setan, Jun 2025 menyaksikan kejatuhan sebanyak  RM85 kepada RM4,051 satu tan dan Julai 2025 melemah sebanyak RM72 kepada RM4,036 satu tan

Jumlah dagangan berkurangan kepada 97,149 lot berbanding 101,035 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 224,569 kontrak daripada 270,760 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan adalah RM80 lebih rendah kepada RM4,680 setiap tan.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan