KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersedia bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk terus membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan digital yang inovatif dan bertanggungjawab.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi beliau ke Abu Dhabi untuk meneroka dasar kewangan digital yang mengiktiraf mata wang kripto dan teknologi blockchain.
Anwar berkata Malaysia perlu memulakan transformasi digital dalam sektor ekonomi dan kewangannya, mengutamakan bidang seperti blockchain dan mata wang kripto untuk terus kekal dihadapan meneraju era digital.
Perdana Menteri menggesa agensi berkaitan, termasuk SC, Perbendaharaan dan BNM, untuk mengkaji bidang kritikal bagi memastikan Malaysia bergerak seiring dengan perkembangan global sambil terus melakukan pengawasan untuk melindungi kepentingan awam.
SC dalam satu kenyataan hari ini menyambut baik pengumuman itu, dengan menyatakan inisiatif tersebut selaras dengan keutamaan utama suruhanjaya berkenaan untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kewangan digital global, melengkapkan agenda transformasi digital negara.
Mohammad Faiz berkata sejak 2019, SC telah giat membentuk landskap kawal selia untuk aset digital, termasuk mata wang kripto.
Sejak itu, pasaran aset digital yang dikawal selia terdiri daripada pelbagai pemain termasuk bursa aset digital, pengendali tawaran awal bursa (IEO), pengurus dana dan penyedia perkhidmatan kustodi, katanya.
-- BERNAMA