EKONOMI

SEKTOR TEKNOLOGI, TENAGA BOLEH BAHARU AKAN TAKRIFKAN PASARAN IPO MALAYSIA 2025 - MOOMOO MALAYSIA

17/01/2025 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Beberapa trend dalam sektor teknologi dan tenaga boleh baharu dijangka mentakrifkan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia pada 2025, kata Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd (Moomoo Malaysia).

Ketua Urus Niaganya Ken Low berkata sebagai contoh, sektor teknologi khususnya syarikat pemula niaga yang memanfaatkan kecerdasan buatan dan inovasi teknologi kewangan (fintech), terus menarik minat pelabur manakala firma tenaga boleh baharu yang memberi tumpuan kepada tenaga solar dan infrastruktur kenderaan elektrik juga mendapat daya tarikan di tengah-tengah matlamat kemampanan global.

Beliau berkata syarikat barangan pengguna yang memenuhi peralihan gaya hidup selepas pandemik dan trend kesejahteraan kekal dalam perhatian pelabur.

“Dinamik ini menawarkan peluang yang pelbagai untuk pelabur runcit, dan sentiasa mendapat maklumat tentang IPO yang akan datang serta menyelaraskan pelaburan dengan sektor-sektor pertumbuhan jangka panjang yang boleh membantu pelabur memanfaatkan trend ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Low menegaskan Malaysia merekodkan 55 IPO pada 2024, jumlah tertinggi di ASEAN, secara kolektif mengumpul nilai dana yang paling besar di rantau ini dan dengan prestasi cemerlang ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur tetapi juga menyumbang dengan ketara kepada ekonomi.

“Melihat ke hadapan, 2025 akan menjadi satu lagi tahun yang kukuh untuk IPO.

“Pakar mengunjurkan Bursa Malaysia akan menerima kira-kira 50 penyenaraian baharu tahun ini, dengan keyakinan yang disokong terutamanya oleh asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan kepelbagaian sektor yang semakin berkembang memasuki pasaran, daripada teknologi dan tenaga boleh baharu hinggalah kepada barangan pengguna dan logistik,” katanya.

Sementara itu, Low berkata penyenaraian Oriental Kopi Holdings Bhd (Oriental Kopi) akan datang di Pasaran ACE menimbulkan keterujaan dalam kalangan pelabur runcit memandangkan ia merupakan penyenaraian ketiga bagi tempoh bulan pertama 2025.

IPO itu yang berharga RM0.44 sesaham menyasarkan untuk mengumpul RM183.96 juta bagi menyokong rancangan pengembangan jenama berkenaan, dengan prospektus mereka menyenaraikan hasil yang diperuntukkan untuk modal kerja, penubuhan ibu pejabat baharu, dapur berpusat dan gudang, pengembangan domestik, serta aktiviti-aktiviti pemasaran seperti pengembangan segmen makanan berbungkusnya.

IPO Oriental Kopi tiba pada masa industri makanan dan minuman Malaysia bersedia untuk pertumbuhan seterusnya, dengan industri F&B domestik mencatatkan hasil sebanyak RM228.66 bilion pada 2023 dan unjuran pertumbuhan pula pada kadar kompaun 7.95 peratus dari 2023 hingga 2027.

"Petunjuk utama menunjukkan potensi untuk Oriental Kopi terus mengukuhkan diri mereka sebagai pemain utama dalam sektor kafe tempatan dan makanan berbungkus," tambah Low.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan