KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang dalam lawatan rasmi ke negara-negara anggota ASEAN telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Kemboja di negara berkenaan.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Johari mengadakan pertemuan bersama Speaker Dewan Perwakilan Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, Timbalan Perdana Menteri Santepundit Neth Savoeun dan Presiden Senat Hun Sen.
“Lawatan ini adalah sebahagian daripada Jelajah ASEAN yang bertujuan memperkukuhkan persiapan Parlimen Malaysia untuk mempengerusikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Pada pertemuan bersama Khuon Sudary, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu berkepentingan serantau termasuk memperdalam kerjasama antara Parlimen ASEAN melalui pertukaran Ahli-Ahli Parlimen.
Selain itu, aspek pemerkasaan hubungan dua hala Malaysia-Kemboja dan peranan penting diplomasi legislatif dalam menghadapi cabaran global seperti keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi digital turut dibincangkan.
“Pertemuan bersama Hun Sen turut membuka peluang untuk memperincikan usaha memperkukuhkan hubungan diplomatik dan legislatif antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin senada agar program pertukaran antara pelajar Malaysia dan Kemboja diadakan untuk saling mengenali dan menghargai sejarah serta warisan budaya kedua-dua negara. Usaha ini bukan sahaja dapat mempererat hubungan di peringkat rakyat tetapi juga menyemai semangat perpaduan dan pemahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pada pertemuan bersama Neth Savoeun, ia menumpukan kepada isu-isu strategik serantau termasuk keamanan dan keselamatan ASEAN di samping kerjasama dalam bidang pembangunan mampan.
“Kedua-dua pihak juga mengiktiraf kepentingan hubungan erat antara cabang eksekutif dan legislatif dalam merealisasikan agenda serantau. Johari turut mencadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja agar sektor pelancongan Malaysia dan Kemboja dibangunkan bersama sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara.
“Dengan memanfaatkan keunikan destinasi pelancongan dan keindahan warisan budaya masing-masing, kerjasama ini mampu meningkatkan daya tarikan rantau ASEAN sebagai destinasi pilihan di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Johari yang juga Presiden AIPA ke-46 turut menekankan komitmen Malaysia untuk memastikan kejayaan AIPA dan menjemput pemimpin Kemboja ke Kuala Lumpur pada September ini.
-- BERNAMA