AM

POS MALAYSIA BUKA POS SHOP KE-50 DI PULAU PINANG

17/01/2025 10:12 PM

GEORGE TOWN, 17 Jan (Bernama) --  Pos Malaysia Berhad hari ini membuka kedai Pos Shop ke-50, terletak di Jalan Dato Keramat di sini yang menawarkan kemudahan runcit yang komprehensif melangkaui perkhidmatan tradisinya pos dan penghantaran bungkusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Charles Brewer berkata Pos Shop terbaharu itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan transformasi Pos Malaysia untuk ia terus berinovasi dan menyesuaikan diri dengan kehendak pengguna kini yang kian berubah.

“Ia juga menandakan kejayaan terhadap matlamat syarikat untuk membuka 50 Pos Shop di seluruh negara dan secara keseluruhan ia telah memberi perkhidmatan kepada lebih 640,000 pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Brewer berkata kedai di Dato Keramat itu adalah yang kelima di negeri ini selepas Perai, Kepala Batas, Batu Maung dan Gelugor, sekali gus membuktikan komitmen syarikat penyedia perkhidmatan pos dan penghantaran negara itu dalam mendekatkan lagi perkhidmatanya kepada rakyat.  

Beliau berkata dengan keluasan lebih 74 meter persegi, Pos Shop Dato Keramat itu menggabungkan operasi penuh pejabat pos dengan ruang runcit yang selesa dan mesra pelanggan, selain turut menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon mudah alih dan e-dompet, serta pelbagai keperluan harian lain.

“Sempena Tahun Baharu Cina akan datang, Pos Shop memperkenalkan menu baharu perayaan antaranya minuman Tangerine Sunshine dan makanan lazat lain sebagai sebahagian kempen ‘Promo Paling Ong’. Promosi itu boleh didapati di semua 50 Pos Shop bermula sekarang hingga 28 Feb,” katanya.

Kedai Pos Shop pertama dibuka di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada Mei 2023 dan sejak itu ia telah berkembang pesat di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan