JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN TUJUH PEKERJA SYARIKAT KURIER DISYAKI CURI BARANG PELANGGAN

18/01/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Polis menahan tujuh pekerja syarikat kurier disyaki terlibat mencuri bungkusan dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818 dalam beberapa siri serbuan di  Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan bermula Isnin hingga semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kejadian dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier berkenaan di Taman Cheras Indah di sini.

Beliau berkata kejadian disedari pengurus keselamatan syarikat berkenaan pada Isnin apabila menerima aduan pelanggan yang memperoleh bungkusan kosong setelah penghantaran dibuat syarikat kurier itu. 

“Pengurus berkenaan membuat siasatan dalaman dan mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang serta mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan milik pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azam berkata polis kemudian membuat beberapa serbuan dan menahan enam lelaki serta seorang wanita berumur 21 hingga 51 tahun.

Beliau berkata seorang lelaki dan wanita tempatan yang ditahan telah didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Khamis manakala baki lima lagi suspek direman empat hari bermula semalam hingga 20 Jan. 

Kes disiasat di bawah Sekyen 381 dan 380 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan