PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan pusingan bidaan tambahan untuk prorgam Solar Berskala Besar-Peralihan Tenaga SuRiA Tambahan (LSS@PETRA+) bagi pembangunan loji jana kuasa solar berskala besar dengan kuota berjumlah 2,000MWac.
PETRA dalam satu kenyataan memaklumkan penawaran kuota tambahan itu akan dilakukan Suruhanjaya Tenaga (ST) mulai 20 Januari ini melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP).
"Loji jana kuasa solar yang akan diluluskan di bawah pusingan bidaan tambahan ini dijadual mula beroperasi pada 2027," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Langkah itu mengambil kira aspirasi negara dalam agenda peralihan tenaga serta permintaan tenaga elektrik hijau dalam sistem pembekalan elektrik.
PETRA memaklumkan kelulusan kapasiti pembangunan solar tambahan di bawah LSS@PETRA+ itu dijangka menjana pelaburan sebanyak RM8 bilion dan mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) negara.
Menurut kenyataan itu, PETRA yakin pelaksanaan inisiatif berkenaan akan menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050.
Ia juga menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara.
Kuota di bawah pusingan bidaan tambahan itu akan ditawarkan menerusi dua pakej iaitu Pakej A untuk pembangunan loji jana kuasa solar atas permukaan tanah yang berkapasiti antara 30MWac hingga 500MWac, dan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 1,500MWac.
Sementara Pakej B untuk pembangunan loji jana kuasa solar terapung dan atas permukaan air yang berkapasiti antara 10MWac hingga 500MWac, dan jumlah kuota ditawarkan adalah sebanyak 500MWac.
Maklumat lanjut mengenai penawaran kuota tambahan ini boleh didapati di laman sesawang ST di www.st.gov.my.
-- BERNAMA