AM

NADI JOHOL, PLATFORM DIGITAL MANFAATKAN HAMPIR 5,000 PENDUDUK SETEMPAT 

18/01/2025 07:23 PM

KUALA PILAH, 18 Jan (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Johol bukan sahaja menjadi platform menyalurkan maklumat terkini mengenai inisiatif kerajaan kepada masyarakat luar bandar, tetapi juga mampu meningkatkan kemahiran digital khususnya golongan belia.

Antaranya melalui program latihan dan kemahiran, pembuatan kandungan digital, e-sukan dan inovasi digital.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata hampir 5,000 penduduk di sekitar daerah itu boleh memanfaatkan pusat NADI berkenaan terutama membantu dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital.

“Matlamat utama kerajaan memastikan tiada seorang pun tercicir daripada arus pembangunan negara, NADI Johol ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital di kawasan ini.

“Para usahawan digalakkan memanfaatkan kemudahan ini bagi memperluas capaian pasaran produk mereka melalui platform e-dagang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI Johol di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MCMC Negeri Sembilan Ts Md Tahir Musa.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 11 sekolah kebangsaan dan empat sekolah menengah serta para usahawan tempatan yang aktif dalam pembuatan makanan di Johol, dan pusat NADI ini diharapkan dapat membantu meluaskan lagi produk yang dihasilkan termasuk mengadakan program e-pembelajaran kepada mereka.

Dalam pada itu, Saiful Yazan berkata NADI di sini juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber, sistem digital penduduk khususnya warga emas bagi melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

“Warga di Johol ini sekiranya berasa sangsi dengan mesej diterima, boleh datang ke sini merujuk perkara itu kepada staf di sini untuk mendapatkan kepastian, di sini semua petugas terlatih bersedia untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, usahawan makanan dan minuman, Rashidah Jaafar, 56, berkata NADI turut mengajar para peniaga tempatan mempromosikan produk masing-masing menerusi platform digital dengan menggunakan kemudahan yang disediakan di sini.

Ibu kepada empat anak itu berkata NADI juga membantu para pelajar sekolah di sini mendalami ilmu  teknologi seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi antara topik pembelajaran di sekolah.  

Sementara itu, Jalaluddin Alias, 65, menyifatkan NADI membantu golongan muda khususnya di luar bandar meluaskan pengetahuan mereka dalam menerokai bidang komputer dan pendigitalan untuk dimanfaatkan dalam pembelajaran dan pekerjaan.

NADI Johol antara 11 NADI baharu daripada 62 keseluruhan dibangunkan di Negeri Sembilan mula beroperasi antara 20 Sept dan 27 Dis 2024. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan