AM

MAINPP, PERDA BANGUNKAN PROJEK RMM ATAS TANAH WAKAF BERNILAI RM170.1 JUTA

18/01/2025 11:05 PM

GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (WPPSB) mengumumkan kerjasama dengan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB), anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERD), bagi membangunkan projek berimpak tinggi di atas tanah wakaf di Lot 60, Mukim 11, Bayan Lepas, di sini.

Usahasama itu melibatkan projek pembinaan 510 unit pangsapuri mampu milik dan 12 unit komersial di atas tanah berkeluasan satu hektar dengan nilai keseluruhan RM170.1 juta. 

Majlis pemeteraian perjanjian antara MAINPP, WPPSB dan PVISB itu telah diadakan di Teluk Bahang di sini malam ini, bersempena Majlis Makan Malam Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025.

MAINPP diwakili Setiausahanya Datuk Rosidi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif WPPSB Abdul Mohsein Mohd Shariff manakala Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum dan Ketua Pegawai Eksekutif PVISB Noorkhaizan Mohd Noor mewakili PERDA.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi PERDA Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata tanah wakaf itu adalah pemberian dermawan Allahyarham Puteh Masseh, yang diwakafkan pada 9 Okt 1948 dan telah didaftarkan kepada MAINPP pada 20 Mei 1994.

Beliau berkata projek yang akan dilaksanakan oleh PVISB itu telah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Wakaf MAINPP pada 13 Ogos lepas.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen memperkasakan tanah wakaf, projek ini dijangka memberikan pulangan RM19 juta kepada MAINPP untuk mengembangkan hartanah dan kelestarian aset wakaf. 

“Dalam masa yang sama, projek ini bertujuan memaksimumkan potensi tanah wakaf sebagai aset produktif yang memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya.

Sementara itu, Shaik Hussein berkata cadangan pembangunan yang dipersetujui melibatkan pembangunan rumah mampu milik dua blok, 21 tingkat berjumlah 510 unit selain 12 unit kedai komersial tiga tingkat.

“Program pembangunan bersama dengan WPPSB ini merupakan program pembangunan hartanah pertama yang dilaksanakan oleh PVISB di atas tanah milik agensi lain.

“Ia juga merupakan langkah mula PVISB untuk menjadi pemaju hartanah yang lebih terkedepan dan pada masa sama melebarkan lagi operasinya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan