DUNIA

ASEAN RANCANG INTEGRASI EKONOMI, DAYA TAHAN IKLIM, DAN KETERANGKUMAN DI PERMUKIMAN AMM

19/01/2025 12:10 PM

Oleh Massita Ahmad & Linda Khoo

LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) pada Ahad dengan menekankan keperluan untuk ASEAN menumpukan perhatian kepada integrasi ekonomi serantau, kesiapsiagaan iklim dan keterangkuman dalam menghadapi landskap global yang pantas berubah.

“Kepelbagaian kekuatan dan keupayaan ekonomi kita, ditambah dengan penglibatan ASEAN dalam perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), memberi kita kedudukan unik untuk membangunkan rantaian bekalan yang bersepadu,” katanya.  

Menyoroti potensi kolektif ASEAN, beliau berkata kedudukan blok itu sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion dan populasi seramai 677 juta.  

Mohamad menekankan keperluan untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara wilayah.  

“Kita lebih kuat apabila bersatu. Mempergiatkan perdagangan dan pelaburan antara wilayah amat penting untuk melindungi kita daripada kejutan ekonomi pada masa hadapan,” katanya dalam mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di pulau legenda itu.

Menyentuh ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat, Mohamad menyeru tindakan bersama dalam kalangan negara ASEAN.

“Sebagai satu daripada wilayah yang paling terdedah kepada bencana yang disebabkan oleh iklim, Asia Tenggara mesti bersedia menghadapi krisis. Suara kolektif ASEAN dalam rundingan global, seperti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim amat penting untuk memastikan keperluan kita didengari,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memberi keutamaan kepada "Keterangkuman dan Kemampanan", dengan menekankan usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kami berhasrat untuk meningkatkan taraf hidup serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat, memastikan tiada yang ketinggalan,” tegas Mohamad, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.

Komitmen terhadap keterangkuman bukan hanya terhad kepada program ekonomi, malah Malaysia menyeru pengiktirafan penuh terhadap kesemua 11 negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste, mencerminkan komitmennya terhadap perpaduan serantau.

“Dalam semangat usaha ini, kami berharap ASEAN dapat mencerminkan hakikat bahawa Asia Tenggara bukan sekadar rantau 10 negara – tetapi 11.

"Kesemua 11 negara ini layak untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan wilayah ini.

“Sekiranya kita tidak menunjukkan keterangkuman dalam organisasi kita sendiri, semua retorik kita akan kedengaran kosong.

"Kita mesti menepati kata-kata kita, menunjukkan kepercayaan dan sokongan antara satu sama lain,” seru Mohamad.

Sempena ulang tahun ASEAN ke-58, Mohamad turut mengenang dedikasi para pemimpin dan rakyat dalam mengeratkan hubungan antara negara-negara anggota.

“Saya membayangkan lelaki dan wanita, generasi sebelum ini yang mencurahkan keringat dan air mata membina jambatan antara negara kita dan rasa bangga itu amat mendalam,” katanya, sambil mengakui bahawa “kerja yang menanti kita tidak mudah”.

“Kita juga mesti mencurahkan bakti dan keringat untuk masa depan rumah kita. Kita akan melakukannya sebagai satu pasukan. Kepelbagaian rantau kita, jauh daripada menjadi halangan adalah simbol kuasa kita untuk membina jambatan.

“Ketika kita menelusuri masa depan bersama, kejayaan kita bergantung kepada perpaduan, tekad dan kesediaan kita untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia yang sentiasa berubah.

“Semuanya ada di tangan kita,” kata Mohamad mengakhiri ucapannya.

Mesyuarat ini menghimpunkan menteri luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN.

Turut hadir adalah Menteri Luar Timor-Leste Bendito Freitas dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, kali kelima memimpin kumpulan serantau ini sejak ia ditubuhkan pada 1967.

Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan