AM

BANJIR KILAT: PENDUDUK MOHON BANTUAN BOMBA PINDAH KE TEMPAT SELAMAT

19/01/2025 01:46 PM

MUKAH, 19 Jan (Bernama) -- Empat penduduk di Skim Penempatan Semula Kuala Lama Mukah meminta bantuan pihak bomba untuk memindahkan mereka ke rumah anak masing-masing yang terletak di kawasan perumahan berdekatan, selepas dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PKO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata rumah-rumah mangsa didapati telah dimasuki air manakala jalan menuju ke rumah berkenaan juga ditenggelami banjir.

Beliau berkata sebaik sahaja panggilan meminta bantuan untuk memindahkan mangsa-mangsa terjejas akibat banjir kilat berkenaan pada pukul 7.09 pagi, PKO digerakan segera ke lokasi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

“Pemindahan di lokasi pertama melibatkan seorang wanita warga emas berusia 83 tahun ke rumah anaknya di Perumahan Orkid. Pemindahan di lokasi kedua pula melibatkan tiga mangsa terdiri daripada seorang dewasa dan dua kanak-kanak ke rumah anak di Perumahan Lavender,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan