KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Persatuan OKU Sentral berharap pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terlibat kes pukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu pada pagi Jumaat lepas.
Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi berkata warga OKU sudah cukup melalui pelbagai kesukaran dalam kehidupan harian daripada pelbagai sudut dan insiden kekerasan itu amat mendukacitakan.
“Rakaman yang tular berkenaan peristiwa itu begitu menyayat hati untuk ditonton kerana individu OKU tersebut berseorangan sambil diheret dan disepak terajang oleh sekumpulan warga yang belum dikenal pasti setakat ini atas kesalahan yang kami percaya tidak sengaja dilakukan.
“Lebih menyedihkan, pengunjung pasar di tempat kejadian hanya sekadar melihat tanpa menghulurkan apa-apa bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata alasan tidak mengetahui bahawa mangsa adalah seorang OKU ketidakupayaan mental itu bukan lesen untuk membenarkan tindakan kekerasan fizikal sebagai hukuman terhadap sesiapa.
Semalam, polis dilaporkan menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pukul lelaki OKU itu pada kira-kira 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman ketika hadir memberi keterangan.
Sebelum ini, tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan terjatuh.
-- BERNAMA