KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Shopee mengukuhkan komitmen memperkasakan perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia pada 2024 yang menyaksikan jenama tempatan, penjual dan ahli affiliate mencatatkan pertumbuhan luar biasa sepanjang tahun lepas.
Shopee dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini termasuk peningkatan dalam metrik utama seperti pertumbuhan ahli affiliate dan penglibatan penstriman langsung yang mencerminkan impak transformasi Shopeee terhadap landskap e-dagang Malaysia.
“Penjual Shopee Live mencapai kejayaan hebat tahun lepas dengan memanfaatkan penglibatan dan demonstrasi produk secara langsung untuk membina kepercayaan dan mempererat hubungan dengan pelanggan. Dengan menyertai kempen Shopee dan menggunakan ciri platform seperti baucar Shopee Live eksklusif serta alat penglibatan interaktif, penjual dapat memaksimumkan jangkauan mereka.
“Pendekatan komprehensif ini menghasilkan kenaikan 300 peratus dalam jumlah penonton unik sepanjang tahun dan peningkatan 37 kali ganda jumlah tontonan, mencecah 77 bilion sepanjang tahun. Jenama dan penjual tempatan yang mencapai hasil jualan lebih RM1 juta melalui Shopee Live tahun lepas mencatatkan peningkatan jumlah pesanan sehingga 11 kali ganda,” menurut kenyataan itu.
Shopee memaklumkan pada 2024 Shopee Affiliates berjaya mentransformasikan landskap e-dagang dengan meningkatkan pendedahan untuk penjual sambil membuka aliran pendapatan baharu dengan penyertaan ahli affiliate meningkat 161 peratus, lebih daripada dua kali ganda dan mendorong peningkatan 80 peratus dalam jumlah pesanan jenama dan penjual tempatan.
“Ahli Affiliate juga memanfaatkan kuasa Shopee Live, dengan penstriman langsung yang dihoskan oleh ahli affiliate meningkat 16 kali ganda dan meraih lonjakan 1,200 peratus dalam pesanan berbanding tahun sebelumnya.
“Antara ahli affiliate cemerlang ialah Nurul Syuhana dan Celeste Phuah, pemenang anugerah ‘Shopee Affiliate 2 Million Ringgit Club’ dan ‘Shopee Affiliate 5 Million Ringgit Club’, yang mengiktiraf ahli affiliate yang mencapai jualan RM2 juta dan RM5 juta untuk perniagaan tempatan di Shopee,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kejayaan Shopee menyerlahkan bagaimana ahli affiliate memacu pertumbuhan jualan untuk penjual.
Menurut platform e-dagang itu dengan menggabungkan usaha mereka dan penstriman langsung, penjual berjaya meningkatkan jualan sambil mewujudkan hubungan bermakna dengan penonton, yang memaparkan impak transformasi ekosistem ahli affiliate dan penstriman langsung Shopee.
“Sejak dilancarkan pada April 2024, Shopee Video menjadi kaedah penting untuk penjual dan ahli affiliate. Lebih tujuh juta video telah dihasilkan, dengan 68 peratus daripada kandungan berkenaan disumbangkan ahli affiliate. Video-video ini berjaya memacu lebih 500,000 pesanan sambil membina keyakinan pembeli melalui demonstrasi produk yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Komitmen Shopee untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah telah membawa kepada peningkatan yang ketara dalam penglibatan pembeli dengan ciri dan perkhidmatan utama mereka.
Kenyataan itu memaklumkan 14 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada Baucar Penghantaran Percuma Shopee tahun lepas dan lonjakan penglibatan pembeli ini menonjolkan dedikasi Shopee dalam menyediakan pengalaman membeli-belah yang cekap agar dapat memenuhi pelbagai keperluan pembeli dan memperkasakan mereka dengan fleksibiliti.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit dalam kenyataan yang sama berkata mereka akan terus melabur dalam inisiatif yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang, meningkatkan pengalaman membeli-belah untuk pengguna dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi digital Malaysia.
“Tahun lepas merupakan tahun pencapaian luar biasa bagi Shopee, yang menunjukkan kuasa e-dagang dalam memperkasakan perniagaan tempatan dan meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia.
“Pertumbuhan sepanjang tahun ini menekankan komitmen kami untuk memenuhi keperluan jenama, penjual, ahli affiliate dan pembeli yang sentiasa berkembang melalui penyelesaian inovatif dan ciri platform baharu,” katanya.
-- BERNAMA