EKONOMI

DATASONIC DAPAT PELANJUTAN KONTRAK KDN BERNILAI RM150.45 JUTA

20/01/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Datasonic Group Bhd telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan pelanjutan tempoh 12 bulan bagi kontrak sedia adanya.

Pelanjutan kontrak bagi tempoh 1 Dis, 2024 hingga 30 Nov, 2025, disertakan dengan nilai tambahan kontrak RM150.45 juta, kata kumpulan itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

Surat berkenaan telah diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd.

Kontrak itu termasuk pembekalan dokumen pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen dan pembekalan 9.96 juta halaman biodata polikarbonat kepada jabatan berkenaan.

Datasonic berkata kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa, termasuk keadaan ekonomi keseluruhan, krisis pandemik, perubahan dalam peraturan kerajaan dan risiko operasi seperti peningkatan kos disebabkan peningkatan kos material dan terma kontrak berkaitan.

"Oleh itu, syarikat akan meletakkan langkah kawalan dan prosedur operasi bersesuaian bagi mengurangkan impak atau kemungkinan berlakunya kejadian sedemikian," kata kumpulan itu.

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Kumpulan Datasonic bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2025 serta tahun kewangan selepas itu bagi tempoh kontrak.

Menurutnya, kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar kumpulan Datasonic.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan