AM

KEPENGERUSIAN ASEAN: ISU KEMAHIRAN PEKERJA, PERGERAKAN BURUH MIGRAN FOKUS KESUMA - SIM

20/01/2025 08:27 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

GEORGE TOWN, 20 Jan (Bernama) -- Isu kemahiran, keselamatan sosial pekerja dan pergerakan buruh migran dalam kalangan negara serantau akan diketengahkan di pentas forum, mesyuarat dan persidangan yang bakal dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sempena Kepengerusian ASEAN 2025.  

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata isu-isu berkenaan akan diketengahkan termasuk dalam persidangan kemuncak besar iaitu Tahun Kemahiran ASEAN yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Tahun Kemahiran ASEAN ini bertujuan untuk menggemblengkan negara-negara anggota ASEAN untuk melihat kepada bagaimana kita boleh menyediakan tenaga kerja ASEAN berdepan dengan cabaran, contohnya trend-trend ekonomi abad ke-21 dalam AI (kecerdasan buatan), digitalisasi dan ekonomi hijau.

“Ia menggemblengkan anggota-anggota negara ASEAN untuk berfikir sebagai satu rantau berdepan dengan cabaran ekonomi,” katanya dalam temu bual eksklusif di Pejabat Biro Bernama Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menjelaskan bahawa ASEAN berpotensi besar untuk menjadi hub strategik dalam menghadapi trend ekonomi global dengan populasi besar yang memberikan peluang sebagai pasaran dan sumber tenaga kerja.

Sim berkata jika pelaburan besar dalam bidang seperti semikonduktor, kereta elektrik (EV) dan robotik memasuki rantau ini, tenaga kerja ASEAN perlu bersedia untuk memenuhi permintaan dalam kepakaran yang diperlukan dalam bidang berkenaan.

“Contohnya dari negara Eropah dan Amerika Syarikat... Tentang agenda hijau yang dikenakan syarat-syarat baharu, adakah tenaga kerja kita bersedia untuk menyahut peranan-peranan yang diperlukan seperti pengatur cara, jurutera, juruteknik atau pakar-pakar dalam bidang itu,” katanya.

Beliau berkata maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat termasuk tarikh dan lokasi persidangan berkenaan.

Sim berkata KESUMA juga akan melihat kepada isu keselamatan sosial pekerja khususnya kemungkinan risiko yang belum pernah difikirkan dalam kerangka ataupun dalam trend ekonomi lama, yang perlu mempunyai pendirian baharu bagi melindungi warga pekerja ASEAN.

“Sehubungan itu, Malaysia melalui KESUMA juga akan menganjurkan satu persidangan keselamatan sosial antarabangsa yang sudah tentu bukan sahaja mengumpul suara-suara dari ASEAN tetapi seluruh negara untuk melihat bagaimana dan apa trend sistem pelindungan keselamatan sosial. Contohnya untuk ekonomi gig, bagaimana kita boleh membantu mereka dari segi keselamatan sosial,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan satu mesyuarat di peringkat ASEAN juga akan diadakan untuk membincangkan isu hangat dalam kalangan negara serantau iaitu melibatkan pergerakan buruh migran khususnya apabila Malaysia sebagai antara negara yang menerima pekerja buruh itu.

Sim berkata perbincangan juga akan menyentuh mengenai peraturan dan undang-undang kawalan pengurusan yang lebih telus serta perlindungan kepada golongan pekerja migran yang bekerja di serantau ASEAN.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dan tahun ini menandakan kepengerusian buat kali kelima selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN dianggotai 10 negara rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan