JENAYAH & MAHKAMAH

TIMBALAN PENGARAH AGENSI KERAJAAN ANTARA DITAHAN BANTU SIASATAN KES RASUAH RM600,000

21/01/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Dua lelaki termasuk timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan direman enam hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada syarikat pelabur sebagai balasan memudahkan kelulusan permohonan.

Perintah reman hingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Menurut sumber kedua-dua suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dari 2019 hingga 2024. Mereka disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan