PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan pusingan kerja membabitkan penjawat awam di kaunter perkhidmatan mampu menangani isu integriti, menambah baik mutu penyampaian dan mewujudkan iklim kerja yang kondusif.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan pelaksanaan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu adalah tepat dan diterima baik Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Saya fikir (cadangan itu) tepat, kerana kami (KDN) mempunyai banyak perkhidmatan kaunter dan tentunya antara yang paling popular ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan polis.
“KDN akan menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan mutu sistem penyampaian agensi kementeriannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai di Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AiSSE) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan pusingan kerja juga perlu meletakkan pendekatan berasaskan rakyat sebagai keutamaan.
Semalam, Shamsul Azri pada Majlis Amanat KSN Tahun 2025, mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.
Ini kerana tempoh lima tahun bertugas di kaunter dilihat terlalu lama dan tidak bersesuaian, menjadikan beliau mahu pelaksanaan pusingan kerja dilaksanakan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA