PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi pegawai perubatan merupakan tambahan pilihan kepada sistem sedia ada, iaitu sistem on-call dan sistem syif, serta bukan untuk menggantikannya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
WBB merupakan sistem syif baharu untuk petugas penjagaan kesihatan awam yang masih di peringkat cadangan.
Dalam sidang media khas mengenai isu WBB di sini hari ini, beliau menjelaskan sistem berkenaan dibangunkan oleh doktor untuk doktor di lapangan bagi sesetengah jabatan di hospital.
Dzulkefly berkata sistem itu dibangunkan setelah mengambil kira pelbagai input daripada pihak berkepentingan di pelbagai peringkat dan keputusan itu dibuat setelah mendapati wujudnya keperluan segera untuk menambah baik sistem aturan kerja sedia ada.
“Pemilihan apa-apa aturan jadual kerja (on-call, syif atau WBB) adalah tertakluk kepada kemampuan dan ketersediaan jabatan dan pentadbiran hospital berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menarik balik WBB serta-merta, dengan dakwaan WBB dibangunkan tanpa penglibatan pihak berkepentingan utama.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Dzulkefly bagaimanapun menjelaskan pelaksanaan sesebuah projek rintis seperti WBB hanya boleh dimulakan setelah diluluskan oleh Menteri Kesihatan dengan persetujuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Sebelum itu, garis panduan pelaksanaan projek rintis kepada fasiliti kesihatan telah dibuat melalui surat edaran dalam agar persediaan dapat dibuat sebelum projek rintis dilaksanakan.
“Malangnya surat edaran tersebut telah didedahkan kepada awam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah disalahertikan fungsinya,” katanya.
Sebelum ini tular sepucuk surat edaran yang menyatakan WBB fasa pertama akan dilaksanakan bermula 1 Feb 2025.
Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata WBB bertujuan untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Beliau berkata pelaksanaan sistem itu antara lain bagi mengurangkan tempoh bekerja on-call aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat serta memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.
Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan ketetapan mengenai kenaikan elaun on-call akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sempat berhubung dengan perdana menteri sebentar tadi. Beliau menyebutkan kepada saya supaya menunggu (mesyuarat) Kabinet hari Jumaat ini untuk dapat keputusan secara tuntas,” katanya.
Bahagian doktor kerajaan dalam MMA dilaporkan kecewa dengan KKM kerana masih ‘mengelak’ daripada melaksanakan kenaikan elaun on-call seperti dijanjikan untuk doktor.
Mereka mendakwa kelewatan pelaksanaan hanya akan menyebabkan lebih ramai doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan.
-- BERNAMA