PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kes pengarah syarikat perabot Datuk Teo Wee Cheng yang didakwa atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.87 juta berhubung projek Jana Wibawa, akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Hal ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Teo selaku perayu untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Ahmad Zaidi dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati rayuan difailkan perayu tidak mempunyai merit dan mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan Lim Guan Eng pada 2017 yang memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta SPRM adalah berperlembagaan.
"Pada hemat kami, Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Guan Eng secara spesifiknya telah memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta SPRM tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Oleh itu, rayuan perayu ditolak," kata hakim itu yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Persoalan undang-undang itu adalah sama ada Seksyen 62 ASPRM bercanggah dengan Perkara 5 (1) dan Perkara 5 (2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu tertuduh dikehendaki menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebagai sebahagian keterangan dalam pembelaan sebelum perbicaraan bermula, yang ia akan menafikan hak tertuduh untuk berdiam diri dan mendapat perbicaraan adil.
Teo merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, masing-masing pada 5 Mac 2024 dan 28 Mei tahun sama yang menolak permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.
Teo, 67, sebagai pengarah syarikat SSH Furniture Sdn Bhd didakwa atas dua pertuduhan meminta suapan daripada seorang individu berjumlah RM11.37 juta, iaitu 10 peratus daripada harga kontrak bagi tender projek menaik taraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, Segamat bernilai RM39.75 juta dan projek membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, Sedili, Kota Tinggi bernilai RM74 juta.
Perbuatan yang didakwa dilakukan di Pejabat Trimetro Development Sdn Bhd, Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Jun 2022, adalah sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek itu dan sebagai dorongan untuk bersetuju bahawa Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd dilantik sebagai subkontraktor bagi projek berkenaan.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, dia didakwa menerima suapan daripada dua individu berjumlah RM1.5 juta sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti mendapatkan projek menaik taraf jalan pintasan berkenaan dan dorongan untuk bersetuju bahawa Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd dilantik sebagai subkontraktor bagi membina jalan itu.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Pejabat SSH Furniture, Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 hingga 15 Nov 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Teo Datuk Tan Hock Chuan berhujah bahawa Seksyen 62 ASPRM 2009 dengan jelas melanggar hak anak guamnya untuk berdiam diri kerana ia memerlukan tertuduh mendedahkan pembelaannya dan menyerahkan salinan mana-mana dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian keterangan daripada pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
"Perayu sebagai orang kena tuduh mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil merangkumi haknya untuk berdiam diri di bawah Perkara 5 dan hak untuk mendapatkan keistimewaan terhadap pengakuan diri di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pula berhujah Seksyen 62 ASPRM adalah berperlembagaan dan pernyataan pembelaan yang diserahkan kepada pendakwaan tidak bermaksud bahawa pihak pembelaan telah bebas daripada beban pembuktian.
"Pihak pendakwaan bertanggungjawab untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan mahkamah akan membuat penilaian maksimum berdasarkan keterangan saksi yang relevan. Oleh itu, tidak timbul isu orang kena tuduh (OKT) tidak akan mendapat perbicaraan yang adil," katanya.
Ditemui pemberita selepas prosiding, Law berkata kes itu masih belum dibicarakan dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah menetapkan Khamis ini (23 Jan) untuk sebutan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
-- BERNAMA