KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerja ASEAN 2025 dari 4 hingga 5 Ogos tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata ia selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dan sidang kemuncak itu akan dianjurkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Ini satu perkembangan yang baik, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (meletakkan) visi beliau, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Visi beliau ialah untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
“Tahniah kepada NIOSH dan Kementerian Sumber Manusia kerana telah mengambil inisiatif ini, setiap tahun NIOSH memang menganjurkan konvensyen masing-masing, tetapi tahun ini mereka mengambil cabaran ini untuk mengangkat persidangan tahunan NIOSH ini di peringkat ASEAN,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Prapelancaran Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerja ASEAN 2025 di sini hari ini.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan untuk Tenaga Kerja Berdaya Tahan”, beliau berkata sidang kemuncak itu akan menjadi platform untuk berkongsi amalan yang baik, bertukar pandangan dan idea di peringkat serantau serta menyediakan peluang berharga kepada peserta untuk membina jaringan, hubungan dan mengukuhkan kerjasama.
Sementara itu, Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen berkata selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, adalah penting bagi NIOSH untuk memainkan peranan utama dalam menangani cabaran baharu Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH), selain memperluaskan skop sidang kemuncak itu untuk merangkumi beberapa program lain.
Ini termasuk Seminar Piawaian Antarabangsa NIOSHCert 2025 (NISS2025), mesyuarat Institut Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Asia (AOSHRI), Bengkel Inisiatif Penyelidikan Malaysia untuk Agenda Nasional (MaRINA) 3.0 dan Bengkel ASEAN++ serta lawatan sambil belajar untuk peserta dari negara-negara anggota ASEAN.
“Cabaran kini melangkaui bahaya fizikal tradisional seperti bunyi dan cahaya, untuk merangkumi risiko kimia, biologi dan ekonomi yang berkaitan dengan peralatan dan keadaan tempat kerja.
“Selain itu, isu psikososial seperti tekanan dan kemurungan semakin menjadi perhatian dalam masyarakat kita, dan dalam persekitaran kerja yang semakin berubah,” katanya.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan, di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk sebuah rantau yang bersatu dan makmur.
Sementara itu, Sim menegaskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah tanggungjawab moral yang melangkaui pematuhan undang-undang.
Beliau berkata ia adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi semua pekerja.
“Satu daripada fokus saya adalah keselamatan pekerjaan dan kita ada pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun 2022, iaitu denda hukuman ditambah daripada RM50,000 kepada RM500,000 terhadap pekerja yang tidak mematuhi undang-undang.
“Matlamat kami bukan untuk menghukum, tetapi memastikan selepas setiap hari bekerja, kita semua akan dapat pulang dengan sihat dan selamat. Kita akan memberikan khidmat konsultasi dan beri panduan bagaimana syarikat-syarikat boleh memenuhi keperluan pindaan terbaharu,” katanya.
Sim berkata semua usaha kerajaan bukan hanya soal dasar tetapi juga tentang maruah pekerja kerana setiap pekerja harus dapat pergi ke tempat kerja dengan yakin bahawa mereka selamat dan pulang ke rumah dalam keadaan sejahtera.
-- BERNAMA