AM

PEMBAIKAN BENTENG SEMENTARA DI PAM KEMUBU DIJANGKA SIAP APRIL - KADA

21/01/2025 10:02 PM

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Pembaikan benteng sementara sheet pile di pam Kemubu yang bernilai RM21 juta dijangka siap selewat-lewatnya pada April tahun ini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata pembinaan semula benteng itu bertujuan menyelesaikan masalah bekalan air kepada pesawah di Kelantan.

Khalid berkata reka bentuk pembaikan kini sedang dimuktamadkan dan pembinaan dijangka bermula pada awal bulan depan yang akan menyelesaikan masalah bekalan air bagi 17,000 hektar tanah sawah padi di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

"Masalah bekalan air yang berlaku semasa musim kemarau lepas berpunca daripada kerosakan sheet pile, namun selepas berbincang dengan kerajaan negeri, kelulusan telah diperoleh untuk pembinaan semula benteng itu," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi KADA di Auditorium Ibu Pejabat KADA di sini hari ini.

Dengan pembaikan benteng sementara ini, katanya KADA dapat mengawal paras air semasa musim kemarau manakala rumah pam Kemubu satu dan dua akan berfungsi dengan baik walaupun pada musim berkenaan.

Sementara itu, Khalid turut mengumumkan bahawa KADA sedang dalam proses memohon kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk menggunakan benih padi varieti baharu, iaitu Climate Ready Seeds (CR).

Menurutnya, percubaan menggunakan benih ini telah dimulakan pada April tahun lepas di Bendang Muling, Padang Mokan seluas enam hektar, dan kini diperluas kepada 48 hektar di kawasan Bachok dan Kota Bharu yang menghadapi masalah bekalan air.

“Kami mendapati bahawa benih padi CR yang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia lebih tahan lasak pada musim kemarau berbanding benih lama," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan